PUTRAJAYA: Tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor dijalankan untuk mengisi kekosongan luar jangka kerusi itu berikutan kematian penyandangnya, Dr. Md. Yusnan Yusof yang meninggal dunia pada 30 April lalu.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ini kerana kekosongan itu telah dipastikan berlaku dalam masa dua tahun dari tarikh Dewan Negeri terbubar mengikut Fasal (3) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.
Menurut beliau, di bawah Perkara 46 (5) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, kekosongan sesuatu kerusi Dewan Negeri Kelantan sepatutnya perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut.
“(Namun) Mengikut Fasal (3) itu, maka tiada keperluan mengisi kekosongan itu melainkan Speaker Dewan Negeri Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub secara bertulis memberitahu SPR sebaliknya.
“Speaker Dewan Negeri Kelantan telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ikmalrudin, SPR telah menerima pemakluman daripada Speaker Dewan Negeri Kelantan melalui surat bertarikh semalam (8 Ogos 2021) berhubung dengan status kekosongan luar jangka kerusi DUN N.23 Melor itu.
Katanya, berdasarkan Proklamasi Darurat 2021 (P.U.(A)7) yang berkuat kuasa pada 11 Januari sehingga 1 Ogos 2021 dan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 (PU(A)12), peruntukan Perlembagaan mana-mana Negeri berhubungan pilihan raya bagi pemilihan ke Dewan Undangan Negeri tidak mempunyai kesan sepanjang tempoh darurat. – UTUSAN ONLINE










