PUTRAJAYA: Umat Islam di Selangor dipuji kerana cukup berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sehingga tiada kluster berkaitan Hari Raya Aidiladha dilaporkan.
Perkara berkenaan didedahkan sendiri Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman sambil menjelaskan bahawa tiada rekod kluster tersebut di negeri itu sehingga kini.
“Ini membuktikan penduduk Selangor khasnya masyarakat Islam amat patuh SOP ditetapkan apabila tiada pun kluster perayaan itu daripada aktiviti ziarah atau rentas daerah,” katanya dalam sidang akhbar khas Kementerian Kesihatan di sini hari ini yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah.
Hari Raya Aidiladha disambut pada 20 Julai lalu yang meliputi aktiviti korban haiwan selama empat hari dengan SOP ketat buat tahun kedua bagi mengekang penularan wabak Covid-19, kecuali Negeri Sembilan dan Sarawak yang melarang penyembelihan korban, banyak kluster perayaan itu dilapor di seluruh negara ekoran ada ingkar cuba merentas untuk balik kampung.
Mengulas lanjut, Sha’ari berkata, trend peningkatan kes di Selangor sebenarnya bermula tiga minggu awal sebelum sambutan Aidiladha iaitu minggu epidemiologi ke-25 hingga sekarang.
“Ia disebabkan peningkatan jumlah saringan terutama di fasiliti swasta dengan 85 peratus ujian dibuat di situ ekoran kesedaran masyarakat yang luas dan bertindak segera,” jelas beliau.
Penyumbang kluster aktif yang paling besar di negeri tersebut jelasnya, masih lagi dikuasai dari sektor perkilangan, diikuti perkhidmatan, tapak pembinaan, perniagaan dan komuniti.
Daripada kes disaring itu tambah beliau, jumlah tertinggi yang didapati positif ialah kontak rapat iaitu hampir 40 peratus dan disusuli pesakit dengan bergejala sekitar 22 peratus lagi.
Menyentuh langkah Jabatan Kesihatan Selangor mendepani peningkatan kes baharu, Sha’ari berkata, pihaknya telah meningkatkan bilangan kapasiti katil daripada 6,165 kepada 7,671 yang dapat menampung pertambahan pesakit kategori 3, 4 dan 5 yang memerlukan rawatan rapi terutama di empat hospital khusus Covid-19 di negeri berkenaan.
Ia meliputi Hospital Sungai Buloh, Ampang, Selayang dan terbaharu, Serdang dengan kadar pendudukan katil yang pernah mencapai maksimum lebih 100 peratus pada hari tertentu.
Di samping itu kata Sha’ari, Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang dilengkapi hospital medan bermula hari ini selain usaha pertambahan katil dilaksanakan di Kajang dan Banting.
“Semua hospital diberi tambahan silinder oksigen dengan sejumlah 3,000 tangki dibekal ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di MAEPS untuk stok di Selangor,” katanya.
Perkhidmatan ambulans ke hospital juga ditambah melalui sewaan dari badan bukan kerajaan dan swasta selain banyak kenderaan jabatan yang diubah suai sebagai ambulans sementara.
Beliau juga memaklumkan, kesemua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Selangor dilengkapi peralatan untuk kes kecemasan manakala pesakit tiada gejala disarankan tidak perlu hadir, sebaliknya, mereka cuma perlu berurusan menerusi CAC Maya dengan segala pemantauan kuarantin kendiri di rumah hanya direkodkan secara digital tanpa perlu pemakaian gelang.










