PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak seluruh rakyat dalam satu keluarga Malaysia membulat tekad untuk memulihkan negara sempena sambutan ke-64 kemerdekaan tanah air.
Perdana Menteri berkata, cabaran yang sedang dihadapi hari ini belum pernah ditempuh sebarang pemimpin dan kerajaan sebelum ini.
Beliau berkata, pada masa ini negara berdepan dengan beberapa cabaran serentak iaitu wabak penyakit dan kegawatan ekonomi, di mana ia menggugat kestabilan politik negara dan seluruh dunia.
“Sempena Hari Kemerdekaan ini, kita perlu terus berjuang memerangi pandemik Covid-19 sebagai musuh paling utama. Kejayaan ini membolehkan kita membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu.
“Ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, keyakinan pelabur harus dikembalikan,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Kebangsaan Ke-64 malam ini.
Ismail Sabri turut menyeru kepada Keluarga Malaysia agar segera mendapatkan vaksin sebagai salah satu ikhtiar pemulihan negara kerana imunisasi itu terbukti memberi impak positif terutamanya dalam usaha memerangi Covid-19.
Beliau berkata, berpandukan data dan fakta, yakinlah bahawa hanya melalui kerjasama penuh daripada semua pihak, peperangan melawan pandemik Covid-19 akan berakhir dengan kemenangan.
Bersempena tarikh keramat Hari Kebangsaan ini, Perdana Menteri mengajak seluruh rakyat berjanji untuk bersama-sama memulihkan negara yang terbina tanpa mengira batasan agama, bangsa dan kaum.
“Kita mahu mempunyai semangat kebersamaan yang ditunjukkan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Ismail Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun H.S. Lee dan Tun V.T. Sambanthan.
“Ini termasuklah kebersamaan tokoh-tokoh dari Sabah dan Sarawak seperti Tun Datu Mustapha, Tun Muhammad Fuad Stephens, Tun Abdul Rahman Ya’kub dan Tun Temenggong Jugah terhadap pembentukan Malaysia. Semangat kebersamaan inilah yang perlu kita warisi untuk memulih dan membina negara,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada tokoh-tokoh negara yang sangat berjasa ini, sekali gus berharap, hasil kerjasama daripada kita semua, tahun ini menjadi tahun terakhir kita merayakan sambutan Hari Kebangsaan dalam suasana peperangan melawan pandemik Covid-19.
Katanya, negara perlu dimerdekakan daripada pandemik, kegawatan ekonomi dan ketidakstabilan politik.










