BALING: Sepasang suami isteri terkejut selepas mendapati seekor ular tedung selar melingkar di bawah almari dapur di rumahnya di Kampung Teluk Merubi, Kupang, di sini semalam.
Ular tedung selar sepanjang empat meter dan berat kira-kira tujuh kilogram itu dipercayai memasuki rumah pasangan tersebut dari kawasan semak berhampiran.
Abdul Malik Razak, 32, berkata, isterinya, Nor Aimuni Zainal, 32, menemukan ular tedung selar itu pada pukul 8.15 malam ketika sedang memasak di dapur untuk makan malam.
“Nasib baik isteri saya tidak dipatuk oleh ular berbisa itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Abdul Malik berkata, pada awalnya, isteri menyangkakan ular tersebut tidak berbahaya dan cuba menghalaunya keluar dari rumah.
Bagaimanapun, katanya, dia selepas itu segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Anggota APM mengambil masa kira-kira 20 minit menangkap ular tedung selar tersebut menggunakan peralatan khas,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE