KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pendaftaran Program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) perlu dijalankan secara dalam talian bagi memudahkan proses semua pemohon pulang ke negara asal secara sukarela.
Setiausaha Agung Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO), Hishammuddin Hashim berkata, pemohon hanya perlu memuat naik butiran peribadi, maklumat tempahan tiket penerbangan, keputusan ujian saringan Covid-19 dan membayar kompaun melalui kaedah tersebut yang dilihat lebih praktikal.
Hal itu memandangkan, ketika ini kaedah pembayaran kompaun setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa boleh dibuat melalui kad debit dan tanpa tunai yang dilihat tidak semua PATI mempunyai akses pembayaran sama.
“Walaupun kemudahan e-dompet diterima, namun seringkali didapati peranti tersebut tidak dapat digunakan mengakibatkan bayaran kompaun dan pas khas tidak dapat dibuat.
“Cara ini menyusahkan pemohon memandangkan semua PATI tidak memiliki debit kad bank kerana tidak mempunyai Pas Jangka Panjang bagi membolehkan mereka membuka akaun bank di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memberi respons kepada kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (Kawalan), Datuk Makhzan Mahyuddin sebagai berkata, seramai 96,809 PATI sudah dihantar pulang ke negara masing-masing melalui Program Rekalibrasi sehingga setakat 20 Ogos lalu.
Hishammuddin berkata demikian antara lain mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen bagi menambah baik penyertaan PATI pulang secara sukarela di samping menjayakan program tersebut.
Program Rekalibrasi PATI adalah program Jabatan Imigresen dengan kerjasama strategik Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) tanpa penglibatan pihak ketiga.
Ia membenarkan PATI pulang ke negara asal secara sukarela namun tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan sudah dilaksanakan bermula 16 November tahun lalu.
Lebih kurang RM95 juta hasil kutipan kerajaan daripada kompaun dan bayaran lain yang dikenakan terhadap pendatan tanpa izin dan majikan di dalam program itu.
Justeru kata Hishammuddin, pelbagai langkah proaktif boleh dilakukan kerajaan untuk menambah bilangan penyertaan PATI selain mengambil kira pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan program yang dilaksanakan.
“MHO sedih dengan sambutan dingin PATI untuk mengambil kesempatan program ini. Angka 93 ribu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan setelah hampir setahun program ini dilancarkan.
“Kebanyakkan NGO sentiasa berada di lapangan dan menjadi rujukan golongan ini dalam menyuarakan kebimbangan dan kekangan yang mereka hadapi. Kami sedia menghulurkan tangan kepada kerajaan bagi menjayakan program ini,” katanya.