MUAR: Tindakan seorang pemandu lelaki yang cuba melarikan diri ketika ditahan anggota polis peronda di Jalan Bakri di sini, mengundang padah selepas dia terlibat kemalangan, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, suspek berusia lewat 30-an itu pada mulanya ditahan selepas dilihat mencurigakan, namun dia bertindak melarikan diri dengan menaiki kenderaannya.
“Dalam kejadian pukul 7.05 petang, semasa anggota MPV dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muar melakukan pemeriksaan terhadap seorang pemandu di Jalan Bakri, suspek bersikap agresif apabila melarikan diri ketika diperiksa.
“Anggota kemudiannya mengejar lelaki berkenaan dan mengarahkan dia untuk berhenti, namun suspek terus memecut laju dan bertindak membuat pusingan U secara berbahaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Zaharudin, kejadian itu menyebabkan suspek terlibat dalam kemalangan selepas kenderaannya merempuh sebuah kenderaan awam yang datang dari arah bertentangan di Jalan Bakri.
“Susulan insiden itu, polis berjaya menahan suspek yang merupakan lelaki warga tempatan dan menemukan dadah dipercayai jenis syabu seberat 3.9 gram.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya.
Selain itu, suspek juga berdepan dengan Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dan penagihan dadah.
Zaharudin berkata, lelaki itu turut disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kemalangan jalan raya.