Spiderman laris jual teh ais - Utusan Malaysia

Spiderman laris jual teh ais

Muhammad Zakri Mohamed Sofi bergambar swafoto bersama pembeli di Jalan Puncak Jalil, Seri Kembangan, baru-baru ini. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kegagalan dalam perniagaan akibat pandemik Covid-19 tidak mematahkan semangat kepada Muhammad Zakri Mohamed Sofi untuk bangkit semula mencari peluang lain demi sesuap rezeki.

Biarpun hilang hampir RM6,000 setiap bulan menerusi perniagaan aksesori kenderaan yang tidak dapat beroperasi ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu, pemuda berusia 36 tahun itu kini memilih jalan berbeza untuk terlibat dalam bidang makanan dan minuman (F&B) pula.

Menyedari bukan mudah untuk bersaing dengan peniaga lain yang lebih ‘otai’ atau menjual produk sama, dia cuba mencari kelainan untuk menarik pelanggan dengan bertukar menjadi adiwira Spiderman sebagai ‘trade mark’ menjual Pati Teh Ais Avengers.

Usaha tersebut ternyata berjaya melariskan jualannya apabila sebanyak 70 ke 100 botol sudah terjual setiap hari biarpun baru bertapak sebulan lalu.

“Walaupun agak panas me­nyarung kostum ini di bawah terik matahari berniaga di tepi jalan, saya gembira dapat memberi keseronokan kepada pe­langgan terutama kanak-kanak ketika datang membeli.

“Semua tahu di musim PKP ini ramai tertekan mental tidak boleh keluar ke mana-mana, namun, dengan cara ini, sedikit sebanyak menceriakan suasana pelanggan ketika datang membeli,” kata bapa kepada seorang anak, Muhammad Zayyad Rizqi, 3 tahun ketika ditemui Utusan Malaysia di tapak niaga Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Ditanya bagaimana mula terbabit dengan perniagaan teh ais ini, Muhammed Zakri berkata, abangnya memperkenalkan produk berkenaan pada hujung tahun lalu memandangkan dia berdepan kesukaran untuk meneruskan perniagaan aksesori kenderaan walaupun membuat secara mobile pergi ke rumah pelanggan seperti memasang lapisan filem gelap pada cermin kenderaan.

Katanya, pada ketika itu dia juga agak risau untuk pergi ke rumah pelanggan kerana situasi Covid-19 boleh merisikokan penularan jangkitan.

“Jadi, saya ambil keputusan untuk mencuba menjual produk teh ais ini sebagai ejen jualan dan mendapat sambutan menggalakkan kerana keistimewaan teh ais ‘pekat, likat memikat’ ini lain daripada yang ada di pasaran kerana menggunakan teh premium dan di brew melebihi lapan jam,” katanya.

Beliau pada masa sama menasihati mereka yang terkesan supaya tidak mudah berputus asa, malah, mencuba sesuatu biarpun berbeza dengan minat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN