Siasatan video ritual tolak bala selesai - Utusan Malaysia

Siasatan video ritual tolak bala selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Polis telah menyelesaikan siasatan kes seorang sami yang didakwa memukul tiga sekeluarga menggunakan sebatang rotan dalam ritual keagamaan yang dijalankan di sebuah kuil dekat Selekoh, Rungkup di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kertas siasatan kes tersebut akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Katanya, sami berusia 39 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

“Lelaki itu dibebaskan tengah hari tadi setelah keterangannya diambil dan kertas siasatan akan dirujuk ke TPR untuk tindakan lanjut.

“Keterangan enam sekeluarga yang terlibat dalam ritual itu juga telah dirakam kerana hanya mereka sahaja tahu mengapa upacara itu dibuat dan mengapa mereka dipukul.

“Polis hanya akan menyiasat adakah tindakan sami tersebut bercanggah dengan undang-undang di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan rotan,” katanya di sini hari ini.

Menerusi laporan media hari ini, polis menahan seorang sami bagi membantu siasatan sebuah video tular upacara keagamaan sehingga menyebabkan kecederaan tiga beranak.

Lelaki itu ditahan pada pukul 10.20 pagi yang mana polis turut merampas sebatang rotan berikat kain merah yang dipercayai digunakan dalam upacara tersebut.

Berdasarkan siasatan, upacara sembahyang itu diadakan bagi membuang badi sial yang ada dalam keluarga individu terlibat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN