IPOH: Polis telah melengkapkan siasatan berhubung kejadian sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh di sini untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja pada 23 Julai lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan kes itu juga telah diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk arahan dan tindakan selanjutnya.
“Siasatan kes ini telah selesai dan Jumaat lalu, kita telah merujuk kertas siasatan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri.
“Saya difahamkan, kertas siasatan juga akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapat arahan lanjut. Buat masa ini kita tunggu keputusan mereka (untuk pendakwaan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak 2021 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Beliau berkata, tiada pihak lain dipanggil memberi keterangan berhubung kes tersebut selain lima individu termasuk seorang bergelar Datuk.
“Siasatan telah dijalankan terhadap lima individu yang dikenal pasti termasuk pengadu iaitu kakitangan DBI (Dewan Bandaran Ipoh), pengusaha restoran nasi ganja dan tiga yang lain,” katanya.
Beliau sebelum ini mengesahkan, helikopter Bell 505 Global Ranger itu mempunyai surat kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan polis Selangor.
Bagaimanapun, surat kebenaran berkenaan adalah bagi keperluan penyelenggaraan pesawat (aircraft maintenance) untuk penerbangan dari Subang ke Ipoh.
Menerusi laporan akhbar pada 23 Julai lalu, helikopter dikendalikan syarikat Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS) itu mendarat di padang Ipoh pada pukul 10 pagi bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja.
Tempahan itu difahamkan dibuat oleh pelanggan dari Kuala Lumpur di sebuah restoran nasi kandar terkemuka di bandar raya ini yang lebih dikenali sebagai nasi ganja.