Shuib yakin Sarah akan balik ke rumah - Utusan Malaysia

Shuib yakin Sarah akan balik ke rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelawak dan usahawan terkenal, Shub Sepahtu, 37, melahirkan keyakinan bahawa isterinya, penyanyi, Siti Sarah Raisuddin, 36, akan sihat dan kembali semula ke pangkuannya dan keluarga.

Menurut Shuib, sebagai suami, tentunya dia meletakkan harapan yang tinggi agar isterinya yang tercinta kembali sihat dan berada di sampingnya serta anak-anak.

“Saya yakin Siti Sarah kuat, saya yakin Siti Sarah akan balik ke rumah ini,”katanya selepas selesai majlis bacaan yassin secara virtual malam tadi.

Dalam menahan sebak di dada, Shuib juga benar-benar berharap agar semua pihak dapat menitipkan doa buat Sarah yang sedang bertarung nyawa kerana dijangkiti Covid-19 dan kini dilaporkan masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

“Teruskan berdoa untuk Siti Sarah, untuk anak dan keluarga. Teruskan berdoa untuk semua orang dan tolong jangan lupa selitkan nama Sarah dalam doa semua,”katanya.

Selain itu, Shuib juga memohon semua pihak agar dapat memaafkan isterinya seandainya dia pernah menyakiti hati mana-mana pihak selama ini dan menghalalkan makan minum serta dipermudahkan segala urusan.

“Saya minta maaf sekiranya Sarah ada menyakiti sesiapa, halalkan makan minumnya dan doakan agar dipermudahkan perjalanannya,”katanya.

Petang tadi, Siti Sarah yang dikomakan kerana tekanan oksigen yang semakin rendah namun selamat melahirkan seorang bayi lelaki secara pembedahan.

Selain itu, Shuib turut meluahkan bahawa,sepanjang 10 tahun hidup bersama sebagai suami isteri, Sarah adalah orang yang telah banyak mengubah dirinya menjadi siapa dirinya yang dikenali sekarang.

“Malam ini mengajar saya banyak perkara. Allah ajar saya untuk reda yang paling reda. Ya, saya dah reda. Apa sahaja keadaan selepas ini saya akan reda. Allah telah banyak uji kami, dari tahun pertama kahwin sampai sekarang,Allah memang hantar dia untuk baiki hidup saya.

“Tolong doakan dia.Tolong doakan anak saya juga yang berada di hospital,” katanya.

Dalam pada itu, Shuib juga mengaku bahawa Sarah sudah memilih nama untuk bayi mereka.

“Dia memang nak sangat anak kami dinamakan Ayash Affan. Doakan Ayash Affan jadi anak yang soleh, doakan dia kuat untuk bertahan dalam masa dua bulan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya