LUMUT: Kira-kira 8,000 orang atau lebih kurang 50 peratus daripada 15,000 komuniti maritim di wilayah utara Semenanjung diunjur menerima dos lengkap vaksin Covid-19 menjelang akhir bulan ini.
Pengarah Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara, Mohd. Hafiz Abdul Majid berkata, kira-kira 5,000 orang mendaftar di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Khas Industri Maritim di Georgetown, Pulau Pinang manakala 2,744 individu lagi di PPV serupa di sebuah hotel di Seri Manjung di sini.
“PPV di Georgetown dibuka sejak 3 Ogos lalu manakala di daerah Manjung ini dibuka lima hari bermula hari ini dengan sasaran kira-kira 600 orang divaksin sehari,” katanya dalam sidang akhbar di PPV tersebut, di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Vale Malaysia Minerals Sdn Bhd (Vale), Rodrigo Ribeiro de Araujo.
Menurut Mohd Hafiz, kira-kira 50 peratus lagi komuniti maritim wilayah utara yang belum mendaftar, mereka akan dimasukkan dalam program vaksinasi awam. – UTUSAN ONLINE