LANGKAWI: Seorang nelayan dikhuatiri hilang dan tiga rakannya terselamat selepas bot yang dinaiki mereka melanggar boya sebelum kesemua mangsa tercampak berdekatan Pulau Lalang, di sini hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, kejadian itu berlaku ketika empat nelayan itu menaiki sebuah bot yang bergerak di kedudukan 0.5 batu nautika selatan Pulau Lalang, pada pukul 10 pagi.
Menurutnya, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat sebaik sahaja menerima aduan mengenai insiden tersebut.
Katanya, nelayan yang dikhuatiri hilang itu ialah Mohamad Ewandi Husnan, 22, manakala tiga mangsa berusia 18 hingga 53 tahun diselamatkan bot nelayan tempatan sekitar pukul 10.20 pagi.
“Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan dan bot yang bergerak tanpa pengemudi itu kemudian ditemukan tersadai di daratan Pulau Lalang pada pukul 12.20 tengah hari tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Salah seorang mangsa yang terselamat mengalami kecederaan patah hidung dan dua lagi mangsa dilaporkan cedera ringan.
“Kesemua mangsa yang terselamat dibawa nelayan tempatan ke pangkalan nelayan di Sungai Menghulu, di sini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE









