Selesai Covid-19, pulih ekonomi baru bercakap soal PRU-15 - Pas - Utusan Malaysia

Selesai Covid-19, pulih ekonomi baru bercakap soal PRU-15 – Pas

MOHD AMAR NIK ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Semua parti patut berganding bahu dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyelesaikan masalah pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara terlebih dahulu sebelum bercakap soal peralihan kuasa atau Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, tindakan mengasak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan dan membubarkan Parlimen bukan langkah terbaik untuk menyelesaikan dua masalah besar melanda negara ketika ini.

Sebaliknya kata beliau, semua pihak wajar bersabar menunggu penggal ini yang bakal berakhir lebih kurang dua tahun lagi dan bagi ahli politik, tempoh itu bukanlah terlalu lama.

“Tetapi disebabkan ada orang yang ‘ghairah’ untuk menjadi Perdana Menteri, maka timbullah perkara ini. Secara peribadi saya berpandangan lebih baik kita tunggu kerana tempoh masanya (PRU-15) sudah tidak lama.

“Jika ditakdirkan PRU-15 dalam masa terdekat, kita akan terdedah kepada risiko (jangkitan). Kalaulah saya berada di tempat Perdana Menteri, hari-hari didesak (lepas jawatan) mungkin akan berbuat demikian (bubar Parlimen),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan alat peranti pintar kepada anak-anak pelanggan Ar-Rahn untuk kegunaan mereka mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di Ibu Pejabat Permodalan Kelantan Berhad (PKB).

Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Besar itu berkata, apabila keadaan negara kembali stabil itulah masa terbaik untuk rakyat diberi mandat membuat pilihan siapa yang layak mentadbir negara.

“Jika Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri. siapa calon yang layak untuk memimpin negara ketika ini? Secara jelas, saya lihat tiada satu calon pun yang mempunyai majoriti dominan.. akhirnya situasi politik akan menjadi kelam-kabut.

“Mungkin kerajaan yang akan naik lepas ini lebih teruk berbanding sedia ada? Secara peribadi saya rasa antara Muhyiddin dengan tiga calon yang mahu menjadi Perdana Menteri ketika ini, sokongan kepada beliau lebih kuat berbanding tiga lagi.

“Walaupun ramai yang menjadi pembangkang, namun mereka tidak bersatu,” sindir beliau. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN