KLANG: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja menggesa krisis politik diselesaikan dengan segera dan kerajaan baharu yang dibentuk nanti perlu mengambil kira langkah komprehensif menyelesaikan masalah pandemik Covid-19.
Ketua Pemudanya, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad, pihaknya berharap pihak yang mempunyai sokongan terbanyak untuk menjadi kerajaan mestilah melebihi lima majoriti atau lebih bagi menjamin kestabilan kerajaan yang dibentuk kelak.
“Jika pihak berkenaan hadir dengan majoriti tipis, kami percaya tiada jaminan kestabilan politik dan tidak akan menarik keyakinan pelabur datang ke Malaysia.
“Jika tiada majoriti selesa, alangkah baiknya semua ketua parti politik menandatangani satu perjanjian dan apabila peratusan vaksin rakyat mencecah 80 peratus maka Parlimen akan bubar secara automatik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meletak jawatan sekali gus kesemua anggota Kabinet beliau turut gugur.
Yang di-Pertuan Agong telah menetapkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri caretaker sehingga Perdana Menteri baharu dipilih.
Sheikh Weshal berkata, tempoh untuk membentuk kerajaan baharu selepas bubar ialah dua bulan (60 hari) dan dalam tempoh tersebut pihaknya percaya vaksinasi rakyat boleh mencecah 90 peratus dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menjalankan proses pilihan raya mengikut norma baharu dengan lebih teratur dan telus.
“Bagaimanapun, Pilihan Raya Umum (PRU) adalah landasan terbaik dalam menyelesaikan krisis politik yang tidak berkesudahan ini,” ujarnya. – UTUSAN










