GEORGETOWN: Program Penang Saring Covid-19 (PSC19) dijangka mencapai sasaran iaitu 40,000 ujian saringan bagi 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini minggu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, jumlah keseluruhan pendaftaran penyertaan PSC19 yang diadakan di 35 lokasi sebelum ini mencecah seramai 34,544 individu.
“Sebanyak 29,876 ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) telah dilaksanakan di 35 lokasi program PSC19 bermula 5 Julai sehingga 12 Ogos lalu yang mana 1,652 ujian itu adalah positif.
“Buat masa ini, masih terdapat 451 keputusan ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) melibatkan saringan pada 8 hingga 12 Ogos lalu yang belum diperoleh dan dijangka diterima dalam masa terdekat,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri memaklumkan sebanyak RM3 juta diperuntukkan khusus bagi melaksanakan program saringan secara besar-besaran terhadap kumpulan komuniti sasaran di 40 kawasan DUN bagi mengekang penularan Covid-19.
Pendekatan itu bakal meningkatkan jumlah saringan kepada tambahan 40,000 sampel selain inisiatif saringan di lapangan secara berterusan dengan kerjasama Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang membabitkan sektor perkilangan.
Menurut Jagdeep, berdasarkan rekod saringan dan lokasi hotspot Covid-19 semasa, kerajaan negeri akan memindahkan sebahagian kuota saringan daripada kawasan DUN di bahagian pulau ke kawasan DUN di seberang.
“Ini kerana kita lihat di bahagian Seberang lebih banyak saringan perlu dilakukan berdasarkan peratusan kes yang lebih tinggi di situ,” katanya.
Dalam pada itu Jagdeep berkata, di Pulau Pinang ketika ini terdapat seramai 118,084 pekerja asing berdasarkan rekod Jabatan Tenaga Kerja Semananjung Malaysia.
“Setakat ini, kita telah mempunyai sebanyak 73,839 (62.5 peratus) katil menerusi asrama pekerja yang telah dibina, sedang dibina dan dalam proses permohonan,” katanya.
Tambahnya, skim penempatan pekerja asing menerusi pembinaan asrama pekerja itu perlu dilaksanakan segera untuk membantu kerajaan mengawal wabak Covid-19 serta mengatasi isu sosial yang lain. – UTUSAN