Sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 Peringkat Negeri Sembilan berlangsung ringkas - Utusan Malaysia

Sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 Peringkat Negeri Sembilan berlangsung ringkas

TUANKU Muhriz Tuanku Munawir menerima tabik hormat pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di pekarangan DUN, Wisma Negeri, Seremban. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 Peringkat Negeri Sembilan berlangsung secara sederhana dan ringkas di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Wisma Negeri dekat sini hari ini.

Diadakan secara tertutup dengan jemputan terhad, majlis hanya melibatkan orang kenamaan, pemimpin negeri, ketua-ketua jabatan dan petugas barisan hadapan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Majlis bermula kira-kira pukul 8.35 pagi dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir serta Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Yang hadir sama, Datuk-Datuk Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar Sungai Ujong.

Sambutan kemudian diteruskan dengan acara menaikkan Jalur Gemilang yang diiringi lagu Negaraku oleh Pancaragam Pusat Kor Amor Diraja (PPKAD) yang diketuai oleh Pegawai Waran 1, Mohamad Khusry Jamahar.

Acara kemudian diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti, Datuk Mohd. Yusof Ahmad serta bacaan ikrar Rukun Negara yang diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sambutan kemudian tamat kira-kira pukul 9 pagi dengan keberangkatan pulang Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Aminuddin menjelaskan, walaupun perlu mengikut SOP Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), sambutan berjalan lancar dan semangat untuk menyambut bulan Kebangsaan tetap dapat disemarakkan.

“Harapan saya sempena Hari Kebangsaan Ke-64, selepas negara berjaya menempuh tempoh penularan Covid-19 nanti, semua rakyat dapat bangkit dengan membina dan membangunkan semula ekonomi negara.

“Kita mungkin akan hidup dalam suasana yang berbeza nanti tetapi semangat untuk melihat negara kembali bangkit dan maju perlu ada dalam diri rakyat termasuk di Negeri Sembilan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN