PETALING JAYA: Tertarik dengan tawaran penebusan mata ganjaran dari sebuah syarikat penerbangan menyebabkan seorang pereka grafik kerugian RM8,300 selepas diperdaya individu menyamar sebagai wakil syarikat berkenaan.
Dalam kejadian pada 27 Ogos lalu itu, mangsa berusia 31 tahun telah menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil daripada sebuah syarikat penerbangan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, suspek memaklumkan kepada mangsa terdapat mata ganjaran percuma atas nama mangsa yang boleh ditukarkan dengan wang tunai berjumlah RM750.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran berkenaan kemudian mendedahkan maklumat kad debit dan kad kredit untuk tujuan penebusan mata ganjaran berkenaan.
“Selepas maklumat diberikan, mangsa menerima makluman daripada pihak bank menyatakan terdapat beberapa transaksi berlaku membabitkan akaun mangsa berjumlah RM8,300,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Mahidisham memberitahu, mangsa hanya menyedari terpedaya dengan tawaran yang dijanjikan individu terbabit sebelum membuat laporan polis.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi serta maklumat perbankan kepada pihak yang tidak dikenali, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer (Capaian Tanpa Kuasa),” jelasnya.