RM70,000 lesap 'dimakan' wakil 'Telekom Malaysia', 'IPD Seremban' - Utusan Malaysia

RM70,000 lesap ‘dimakan’ wakil ‘Telekom Malaysia’, ‘IPD Seremban’

NOORZAINY MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang pekerja swasta di Mak Mandin di sini kerugian RM70,000 dipercayai diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai polis, semalam.

Mangsa, wanita berusia 49 tahun, mula terjerat dalam penipuan tersebut selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa wakil syarikat Telekom Malaysia baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa dimaklumkan kononnya mempunyai tunggakan cukai syarikat sebanyak RM1,188.

Beliau berkata, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang mendakwa pegawai polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Negeri Sembilan.

“Mangsa kemudiannya dimaklumkan oleh ‘pegawai’ terbabit dia terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

“Wanita itu kemudian diarahkan menyerahkan maklumat akaun dan kod kebenaran transaksi (TAC) atau kata laluan sekali guna (OTP) bagi siasatan lanjut dan suspek turut memintanya tidak memberitahu sesiapa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, sejurus selepas menyerahkan nombor terbabit, mangsa mendapati wang di dalam akaun bank miliknya berkurangan dipercayai melalui transaksi yang dilakukan suspek.

Jelasnya, mangsa juga telah memindahkan separuh daripada wang miliknya ke dalam akaun bank lain kerana mempercayai ia adalah untuk tujuan siasatan.

“Dia bagaimanapun menyedari ditipu selepas mendapati wang sebanyak RM70,000 telah lesap dan tampil membuat laporan polis semalam,” katanya.

Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Noorzainy menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon kerana pihak polis tidak berurusan dengan orang awam melalui telefon dan meminta maklumat perbankan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN