KUALA NERUS: Majlis Getah Malaysia (MRC) menyumbang RM2.2 juta bagi pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 dan pemberian peralatan kesihatan di seluruh negara bermula 31 Julai lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurul Islam Mohamed Yusuf berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi berkenaan bagi membantu sektor kesihatan negara.
Katanya, MRC akan bekerjasama dengan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) bagi pelaksanaan program outreach vaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih.
“Di Terengganu, sudah enam lokasi bagi sesi vaksinasi dibuat dan program sama akan diteruskan di enam lagi lokasi di Melaka di samping satu di Kelantan.
“Bermula minggu depan, kita akan menyumbang lapan unit ventilator kepada hospital-hospital kritikal untuk rawatan pesakit Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas melawat program outreach vaksinasi kepada 410 penduduk Kampung Gemuruh di Masjid Al-Mustaqim di sini hari ini.








