TAIPING: Seorang remaja perempuan dikompaun RM5,000 kerana menanggalkan gelang pengawasan kuarantin Covid-19 berwarna merah bagi tujuan keluar rumah ke tempat awam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, tindakan kompaun dikeluarkan selepas rakaman video remaja berusia 17 tahun menunjukkan gelang pengawasan yang ditanggalkannya tular dalam media sosial semalam.
Menurutnya, siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku di kawasan Kamunting di sini.
“Selepas mengenal pasti video tersebut, polis berjaya mengesan lokasi remaja tersebut yang didapati telah menanggalkan gelang pengawasan kuarantin tanpa kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Remaja tersebut telah menjalani ujian calitan pada Sabtu lalu dan keputusannya masih belum diperoleh.
“Difahamkan ketika rakaman video itu dibuat, remaja itu singgah di rumah rakannya di kawasan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Osman, kompaun dikenakan kerana remaja berkenaan didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
“Polis menasihatkan masyarakat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memerangi wabak Covid-19.
“Mana-mana individu yang didapati sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan akan diambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.
Semalam, tular dalam media sosial satu video dari aplikasi Tik Tok berdurasi 31 saat seorang remaja perempuan yang bertopi keledar menanggalkan gelang pengawasan kuarantin berwarna merah.
Difahamkan remaja itu menanggalkan gelang pengawasan kuarantin hanya untuk keluar bersiar-siar. – UTUSAN