BERA: Selepas lapan hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera pulang buat pertama kalinya ke kawasan Parlimen itu semalam.
Kepulangan Perdana Menteri sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat di kawasan itu yang mana rata-rata mereka begitu teruja menyambut kehadiran pemimpin nombor satu negara itu.
Penduduk Bukit Serdang, Jamaluddin Yusof, 80, berkata, kepulangan Perdana Menteri ditunggu-tunggu penduduk yang berbangga dengan pencapaian gemilang politik arus perdana Ahli Parlimen Bera itu.
Menurutnya, Ismail Sabri dianggap sebagai anak angkatnya kerana sering hadir ke Bukit Serdang ketika mula bertapak dalam Parlimen Bera.
“Perdana Menteri mungkin masih ingat pemimpin UMNO Cawangan Bukit Serdang, Allahyarham Khalil Ismail berjuang bersamanya dalam politik dan kemasyarakatan,” katanya kepada Mingguan Malaysia selepas program penyampaian bakul makanan oleh Perdana Menteri kepada penduduk Kampung Kuala Bera di sini semalam.
Penduduk Kampung Kuala Bera, Razlina Mahdin, 39, mengakui berpuas hati dapat berjumpa Perdana Menteri kesembilan ketika aura pelantikannya masih lagi hangat diperkatakan umum.
Tambahnya, Ismail Sabri layak diangkat sebagai Perdana Menteri kerana ketokohan kepimpinan memimpin dan memajukan daerah ini dan negara.
Bagi Fazidah Bawan, 50, dari Kampung Lian pula, dia menyifatkan Perdana Menteri seorang pemimpin yang dilahirkan untuk berkhidmat untuk rakyat.
“Sikapnya yang santun dan sering turun padang berjumpa penduduk dan tidak lokek menyalurkan peruntukan pembangunan,” katanya.
Bagi Misliza Misran, 47, dari Kampung Tanjung Bera pula, di bahu Perdana Menteri kesembilan itu rakyat meletakkan kepercayaan beliau dapat menjadi pemangkin agenda pemulihan negara keluar dari kemelut politik, ekonomi, sosial serta pendidikan.
Sementara itu, Nong Singah Daud, 81, dari Kampung Bukit Serdang mengakui seronok dapat bersua pandang dengan Perdana Menteri yang ramah dan mesra masyarakat.
“Wataknya tidak berubah yang ramah tamah dan mesra dengan semua golongan dan diharap di tangannya negara kembali berkembang maju disegani masyarakat dunia,” katanya.










