GEORGETOWN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sedang memperincikan prosedur operasi standard (SOP) terkini berkaitan solat fardu dan Jumaat serta aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di negeri ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Zakuan Zakaria berkata, satu mesyuarat bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Zakiyuddin Abdul Rahman dan beberapa agensi lain akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan mengenai beberapa kelonggaran berkaitan SOP di masjid serta surau.
“Akan ada perubahan (SOP di masjid dan surau), kita akan adakan mesyuarat segera untuk membincangkan hal ini.
“Pihak kami sedang perincikan untuk mempertimbangkan beberapa kelonggaran yang menggembirakan umat Islam dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan bersetuju membenarkan aktiviti di masjid dan surau bagi jemaah yang telah lengkap menerima dua dos vaksin.
Kemudahan itu terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas Ahad lalu.
Bagaimanapun, pihak masjid dan surau perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal dipatuhi selain memastikan jemaah terus pulang setelah selesai solat.
Menurut Mohd. Zakuan, orang ramai di nasihatkan untuk terus mematuhi SOP dan garis panduan yang ditetapkan di masjid dan surau bagi mencegah penularan Covid-19.
Dalam pada itu, Pengerusi Biro Belia dan Multimedia Masjid Tuan Guru, Mohd. Firdaus Nawawi berkata, pihaknya berharap para jemaah akan dapat kembali mengimarahkan masjid dan surau sekiranya terdapat kelonggaran yang diberikan oleh pihak berkuasa.
Katanya, pada masa ini jumlah jemaah di masjid masih lagi terhad kepada 100 hingga 50 orang di masjid negeri dan masjid kariah.
“Ramai jemaah yang bersedih kerana tidak dapat mengerjakan solat Jumaat, jadi kami berharap kelonggaran akan diberikan kepada jemaah yang lengkap divaksin,” katanya. – UTUSAN ONLINE