PUTRAJAYA: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan mengesan satu produk kosmetik iaitu Skin Revolution Acne Clearing Solution yang mengandungi racun berjadual, clindamycin dan metronidazole.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Norhaliza A. Halim berkata, notifikasi produk kosmetik terlibat dibatalkan pihaknya dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.
“Produk yang mengandungi clindamycin dan metronidazole adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
“Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, penggunaan antibiotik clindamycin dan metronidazole tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan mudarat kepada kesihatan selain meningkatkan risiko kerintangan yang seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan pada masa hadapan.
Tambahnya, penjual dan pengedar produk kosmetik itu perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.










