PPV WTCKL catat dos vaksin satu juta - Utusan Malaysia

PPV WTCKL catat dos vaksin satu juta

ISMAIL Sabri Yaakob memegang papan tanda penerima vaksin satu juta dos bersama penerima vaksin, Zamratulazmi Sarmadi di Pusat Pemberian Vaksin World Trade Centre hari ini. - UTUSAN /AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mencatatkan sejarah sendiri apabila menyaksikan suntikan dos vaksin AstraZeneca yang ke sejuta hari ini.

Pengarah Eksekutif Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, ia sekali gus merakamkan peristiwa bersejarah sejak 115 hari beroperasi dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan detik tersebut petang tadi.

“Kehadiran Perdana Menteri jelas menunjukkan keprihatinan pemimpin negara untuk membawa Malaysia keluar daripada pandemik Covid-19 bagi menggerakkan usaha pemulihan ekonomi negara secara drastik dan berkesan.

“Alhamdulillah, ini adalah antara sumbangan yang PPV WTCKL dapat lakukan bagi membantu mempercepat pencapaian imuniti kelompok di Malaysia serta melindungi diri kita dan orang sekeliling daripada wabak Covid-19 ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Irmohizam, ia menjadi pencapaian sangat menakjubkan ketika negara sedang berada dalam Bulan Kemerdekaan.

Menurutnya, ia boleh dijadikan rujukan bagi 320 Pusat Dagangan Dunia (WTC) lain di seluruh dunia.

“PPV WTCKL juga bersedia sekiranya pengoperasian perlu diteruskan lagi selepas 3 Oktober,” katanya.

Beliau berkata, PPV WTCKL dijangka terus beroperasi sehingga 3 Oktober ini.

Dalam pada itu, beliau merakam penghargaan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kesihatan, Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC).

“Selain itu seluruh tenaga kerja anggota petugas di PPV WTCKL termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Saya juga menghargai tenaga kerja warga WTCKL yang juga membantu dari segi pengawalan jarak ‘crowd’, keselamatan pengudaraan bangunan dan kelancaran pergerakan di PPV WTCKL,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN