PPV di Johor perlu ditambah untuk seimbang penerimaan 2 juta dos - Utusan Malaysia

PPV di Johor perlu ditambah untuk seimbang penerimaan 2 juta dos

NORMALA SUDIRMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu menambah jumlah pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini susulan pembekalan dua juta dos vaksin yang diterima Johor sepanjang bulan ini.

Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional (PN) Johor, Normala Sudirman berkata, tambahan PPV itu bertujuan mempercepat dan melancarkan proses pemberian vaksin.

“Ini adalah langkah terbaik bagi mempercepat program vaksinasi untuk memastikan seramai mungkin rakyat Johor divaksin dengan segera bagi mencegah penularan wabak Covid-19 yang semakin mengganas.

“Cara ini juga akan membolehkan golongan berisiko dapat dilindungi agar imun badan mereka lebih kuat untuk melawan wabak Covid-19 daripada dijangkiti dari masa ke semasa,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Isnin lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menzahirkan penghargaan baginda kepada kerajaan atas tambahan bekalan dua juta dos vaksin Covid-19 untuk negeri ini dalam bulan ini.

Ketika ini, terdapat kira-kira 259 PPV beroperasi di seluruh negeri ini termasuk PPV awam, swasta, PPV Mega, PPV Industri dan PPV Bergerak sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula.

Sementara itu, Normala yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Johor turut memberitahu, tambahan itu akan mempercepat sasaran negeri ini dalam mencapai imuniti kelompok seperti yang disasarkan.

“Sekali lagi Wanita PN Johor menyeru kepada mereka yang masih belum berdaftar, daftarlah dengan segera bagi melindungi diri dan keluarga tersayang daripada serangan wabak Covid-19 sebagai langkah pencegahan.

“Wanita PN Johor menjunjung kasih dan ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas pemberian tambahan vaksin hasil usaha sama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kerajaan Johor dan kerajaan Persekutuan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN