IPOH: Polis mengklasifikasikan kematian seorang pengawal keselamatan yang cedera diserang lelaki dalam kejadian di sebuah kondominium di sini, Disember tahun lalu, sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kes tersebut diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada hari mangsa disahkan meninggal dunia, Jumaat lalu.
Katanya, kes tersebut juga telah dirujuk semula kepada pihak pendakwaan dengan mencadangkan pertuduhan yang lebih tinggi dikenakan kepada suspek.
“Kes ini telah diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.
“Bagaimanapun, kes ini masih menunggu arahan selanjutnya daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Beliau dalam kenyataannya Sabtu lalu memberitahu, video yang memaparkan seorang pengawal keselamatan diserang lelaki dalam kejadian di sebuah kondominium di sini kembali ditularkan ahli keluarganya setelah kematian mangsa.
Katanya, lelaki itu meninggal dunia di rumahnya dan laporan bedah siasat oleh pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan mangsa mati akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
“Bagaimanapun, kejadian ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli keluarga mangsa dengan mendakwa punca kematian adalah disebabkan dipukul dan menularkan rakaman serta gambar ketika kejadian itu tahun lalu,” jelas beliau.
Kertas siasatan kes berkenaan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya di mana suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan pada 6 Januari lalu.
Kes tersebut juga dijadualkan disebut semula pada 9 September ini bagi tujuan sabitan hukuman.