MELAKA: Status keampuhan kerajaan negeri terjawab apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen menyatakan, tidak berhasrat untuk menarik sokongan dan memberi jaminan kerajaan negeri sedia akan terus dipertahan.
Mohd. Rafiq yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, beliau bersama seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) partinya, Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) sepakat terus kekal di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Katanya, sekarang bukanlah masa sesuai berebut tampuk kuasa, termasuk gerakan bermotifkan politik untuk menjatuhkan Perdana Menteri atau pemimpin lain.
“Rakyat mahu fokus diberikan sepenuhnya untuk menangani Covid-19 dan membantu memulihkan ekonomi rakyat. Pembukaan semula sektor-sektor ekonomi baru-baru ini memberi ruang kepada rakyat untuk memperkasa dan membangunkan semula ekonomi.
“Saya sebagai Pengerusi PN Melaka tidak berminat untuk terlibat dengan segala percaturan politik dan fokus sekarang adalah membantu rakyat seramai yang mungkin,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif kepada pemain badminton negara di Pejabat Yang Dipertua Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Majlis yang turut dihadiri Sulaiman itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Isnin lalu Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Tambah Mohd. Rafiq, PN Melaka akan meneruskan inisiatif Gerai Prihatin Rakyat yang telah dilaksanakan di beberapa lokasi seperti Stadium Hang Jebat, Ayer Molek dan Telok Mas.
“Insya-Allah, selepas ini inisiatif tersebut akan diperluaskan lagi ke Parlimen Masjid Tanah dan Alor Gajah,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan negeri.










