PM interim hanya khabar angin - Ismail Sabri - Utusan Malaysia

PM interim hanya khabar angin – Ismail Sabri

ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan bakul makanan kepada seorang penerima di Masjid Kampung Charuk Puting di Bera, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dakwaan yang menyatakan beliau akan dilantik sebagai Perdana Menteri Interim hanya khabar angin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam Perlembagaan pun tidak ada istilah interim.

“Saya ada baca menerusi portal media dan juga media sosial tentang ini, anggaplah ia sebagai khabar angin.

“Mungkin ini merupakan tindakan untuk melagakan dan memecahbelahkan antara kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas program penyampaian bakul makanan di Kampung Charuk Puting di sini hari ini.

Semalam, tular di laman media sosial dan portal berita Ismail Sabri dikatakan mempunyai sokongan kuat, termasuk daripada kalangan Kabinet untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

Difahamkan, rundingan tentang itu sedang berjalan di peringkat kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Ismail Sabri dikhabarkan memperoleh sokongan agak kukuh bagi menggantikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dicalonkan sebagai Perdana Menteri Interim.

Berhubung soalan wujud tindakan pihak tertentu melagakan antara istana dan kerajaan, Ismail Sabri berkata, tindakan sedemikian tidak boleh dilayan.

“Kalau layan akan jadi lebih teruk, kita tidak perlu terlalu terikut-ikut dengan apa yang digembar-gemburkan.

“Tindakan kita dalam keadaan hari ini (akibat penularan wabak Covid-19), mendamaikan keadaan, menyejukkan keadaan, ini bukan masa sesuai untuk kita berpecah, mari bersatu, tanggungjawab kita besar. Apa yang lebih penting adalah rakyat, rakyat susah.

“Kerajaan sudah bagi lebih dua juta bakul makanan sebab rakyat susah, fokus utama ketika ini selesai isu rakyat dan juga Covid-19,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN