PGA rampas bot tunda, hasil laut bernilai RM1.45 juta - Utusan Malaysia

PGA rampas bot tunda, hasil laut bernilai RM1.45 juta

NELAYAN warga asing yang ditahan ketika menangkap hasil laut di perairan Pulau Tiga, Kuala Penyu, Sabah. - IHSAN PGA SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Enam lelaki warga Indonesia dan Filipina ditahan selepas bertindak menceroboh masuk perairan taman marin bagi menangkap hasil laut di perairan Pulau Tiga, Kuala Penyu, semalam.

Dalam Op Bersepadu Khazanah itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) turut merampas bot tunda, peralatan serta hasil laut bernilai RM1.45 juta.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail berkata, kesemua enam individu yang berusia antara 26 hingga 52 tahun itu ditahan oleh pasukan Tiger Platoon Batalion 16 PGA kira-kira pukul 10.35 malam.

PENYU bersisik yang tersangkut pada pukat tunda nelayan warga asing di perairan Pulau Tiga, Kuala Penyu, Sabah. – IHSAN PGA SABAH

“Semasa operasi dijalankan, terdapat sebuah bot tunda dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan Pulau Tiga.

“Pemeriksaan mendapati bot tunda tersebut membawa hasil laut di bilik beku bot yang dianggarkan bernilai RM200,000,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd. Abduh berkata, semasa pemeriksaan dilakukan terdapat seekor penyu sisik yang tersangkut pada pukat tunda sebaik sahaja pukat itu dinaikkan.

Operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama renjer Taman-Taman Sabah (TTS) dan Jabatan Perhutanan Sabah serta Unit Dron daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU), Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 48(1) (c), (d) & (p) Enakmen Taman 1984 (PIN 2007) iaitu memasuki kawasan taman tanpa kebenaran dan menunda pukat bagi menangkap hasil laut.

Jelas beliau, semua tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Stesen Pentadbiran Taman Pulau Tiga untuk tindakan selanjutnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN