SEREMBAN: Seorang pesara kerajaan dari Kampung Baru SiRusa, Port Dickson mengalami kerugian sebanyak RM400,000 selepas ditipu oleh rakan Facebook bernama Velostin Tina Jun pada tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, berdasarkan siasatan, pada Jun 2020 mangsa yang berusia 78 tahun telah berkenalan dengan seorang wanita warganegara Amerika Syarikat (AS) bernama Velostin Tina melalui Facebook.
“Wanita itu menawarkan kiriman bungkusan yang dipercayai wang berjumlah AS$1.5 juta.
Dia berhasrat untuk mengirim kepada mangsa bungkusan berkenaan melalui perkhidmatan kurier ke Malaysia dan berjanji akan datang ke negara ini serta memberikan 30 peratus dari wang itu kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aibee berkata, mangsa bersetuju dan dalam proses untuk mendapatkan bungkusan tersebut, mangsa membayar beberapa kos kastam dan cukai ke dalam lima akaun bank berlainan.
Mangsa menyedari dirinya tertipu setelah diminta untuk membuat pembayaran lagi sebanyak RM479,250 sedangkan bungkusan yang dijanjikan itu masih tidak diperoleh.
“Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Port Dickson semalam. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.