SUNGAI PETANI: Pesakit Covid-19 di negeri ini akan dihantar ke Unit Rawatan Rapi Medan (Field ICU) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang sekiranya hospital di negeri ini dapat menampung peningkatan jumlah pesakit tersebut.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihak ATM bersedia menerima pesakit Covid-19 tahap empat dan lima sekiranya ICU di hospital di negeri ini telah penuh.
Menurutnya, tiga hospital di negeri ini mempunyai ICU bagi pesakit Covid-19 ialah Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini dan Hospital Kulim dekat sini.
Katanya, pemindahan pesakit itu mungkin dilakukan memandangkan situasi katil di ICU serta wad-wad pesakit Covid-19 di tiga hospital utama itu hampir penuh dengan kapasiti lebih 90 peratus.
“Sekiranya katil penuh bagi menampung pesakit bagi dua kategori itu, pihak hospital akan uruskan penggunaan hospital medan di Kepala Batas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Amanjaya Sports Arena di sini hari ini.
Bagaimanapun beliau menambah, tiada keperluan untuk membina hospital medan di negeri ini kerana kekosongan masih ada di Kepala Batas.
Sementara itu, menurut Muhammad Sanusi, PPV Mega Amanjaya Sports Arena yang mula beroperasi hari ini merupakan PPV integrasi terbesar di negeri ini dengan kapasiti 5,000 suntikan sehari.
“Pemberian vaksin di PPV Mega ini serta tiga lagi PPV awam dan satu Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (Pikas) ini membolehkan sebanyak 65,500 suntikan vaksin seminggu di daerah Kuala Muda dapat dicapai.
Tambahnya, pihaknya menyasarkan kira-kira 362,900 penduduk Kuala Muda yang layak menerima kedua-dua dos vaksin menjelang Oktober depan.
“Di daerah Kuala Muda, seramai 131,069 orang atau 36.1 peratus penduduk telah menerima vaksin dos pertama dan seramai 74,365 atau 20.5 peratus telah menerima dua dos suntikan vaksin sehingga Rabu lalu,” katanya.










