LENGGONG: Kementerian Kesihatan (KKM) sedia mempertimbang cadangan untuk ibu mengandung mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara jumpa terus atau ‘walk-in’.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, cadangan itu adalah langkah yang baik bagi membolehkan ibu dalam tempoh kehamilan 14 hingga 33 minggu diberi suntikan vaksinasi secepat mungkin.
Katanya, ibu mengandung merupakan antara golongan berisiko dan suntikan tersebut dapat mengelak berlaku risiko tidak diingini.
“Mereka ini termasuk dalam golongan berisiko disebabkan oleh perubahan diri, hormon dan apabila kandungan makin besar, akan ada banyak risiko lain.
“Bagaimanapun, belum ada pengumuman khusus untuk (ibu mengandung), yang ada sekarang adalah untuk golongan berusia 60 tahun ke atas dan berisiko untuk diselesaikan secara walk-in di seluruh negara.
“Saya rasa itu satu cadangan yang baik untuk dibawa ke atas (dipertimbangkan) supaya ibu mengandung diberikan suntikan secepat mungkin untuk elak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Merdeka Lenggong di sini hari ini.
Menurut Azmi, meskipun tiada pengumuman khusus, ibu mengandung di bawah rekod Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) boleh menerima suntikan vaksin di PPV tanpa temu janji melalui aplikasi MySejahtera.
“Arahan dan garis panduan daripada pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) untuk beri vaksin kepada ibu mengandung sudah ada.
“Ibu mengandung ini ada dalam rekod KKIA dan berdasarkan data itu, kita tahu tempoh mereka hamil dan suntikan boleh diberikan berdasarkan tempoh tersebut. Garis panduan itu sudah ada cuma belum diumumkan di seluruh negara,” katanya.
Pada Jun lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan lebih banyak janji temu untuk suntikan vaksin akan diberikan kepada ibu mengandung mengikut keutamaan berdasarkan jangkaan tarikh bersalin (EDD).
Inisiatif itu diharap dapat menyumbang secara positif kepada kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mencapai tahap imuniti kelompok sesegera mungkin. – UTUSAN ONLINE