Perlis capai 60 peratus penduduk lengkap terima vaksin 10 hari lagi - Utusan Malaysia

Perlis capai 60 peratus penduduk lengkap terima vaksin 10 hari lagi

AZMAN MOHD YUSOF (kiri) meninjau proses pemberian vaksin di Program Vaksinasi Covid-19 Khas Tanpa Janji Temu di Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Perlis dijangka mencapai 60 peratus jumlah penduduknya berusia 18 tahun ke atas menerima lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 dalam tempoh 10 hari, sekali gus membolehkan negeri ini memenuhi syarat memasuki fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengerusi Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) negeri, Azman Mohd Yusof berkata, perkara tersebut mampu dicapai sekiranya jumlah dos pemberian vaksin Covid-19 sebanyak 3,000 dos sehari berjalan seperti biasa dan tidak dikurangkan.

Katanya, sebanyak 67.72 peratus daripada keseluruhan 181,000 penduduk yang layak menerima vaksin di negeri ini sudah pun menerima dos pertama.

“Bagi dos kedua pula, Perlis sudah mencapai sebanyak 49.25 peratus sehingga semalam. Ini bermakna, kita hanya perlu sikit sahaja lagi untuk capai 60 peratus.

“Bila sudah sampai 60 peratus, kita dapat mencapai ke fasa berikutnya,” katanya ketika ditemui pada Program Vaksinasi Khas Covid-19 Tanpa Janji Temu di Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis di sini hari ini.

Sementara itu, Azman memberitahu, pihaknya menyasarkan 2,000 penduduk di kawasan Kuala Perlis menerima suntikan vaksin dalam program lima hari sehingga Ahad depan.

Katanya, jumlah tersebut terdiri daripada individu yang belum mendaftar atau belum menerima janji temu suntikan tersebut.

Jelasnya, antara 500 hingga 600 vaksin akan diberikan setiap hari dalam program di Kuala Perlis itu.

“Program vaksinasi tanpa janji temu ini dapat memudahkan orang ramai yang menghadapi kesukaran untuk mendaftar atau pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Saya berharap orang ramai akan mengambil kesempatan untuk memanfaatkan perkhidmatan ini.

“Kes di Kuala Perlis agak tinggi sedikit kebelakangan ini. Tapi kemungkinan selepas ini akan menurun hasil daripada tindakan dan pengawalan terperinci yang dilakukan pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN