PETALING JAYA: Perkembangan politik negara kini tertumpu kepada pergerakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.
Selain kediaman beliau di Bukit Damansara, dua lokasi lain iaitu Pejabat Perdana Menteri iaitu di Putrajaya dan Istana Negara menjadi lokasi tumpuan media untuk membuat liputan hala tuju politik pada masa akan datang.
Terdahulu, Muhyiddin dijangka mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet di Bangunan Perdana Putra pagi ini sebelum menghadap Seri Paduka pada tengah hari.
Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md.Yusof mengesahkan bahawa Muhyiddin akan menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.
Muhyiddin memaklumkan perkara tersebut kepada ahli Parlimen Bersatu dalam pertemuan kira-kira dua jam yang berlangsung di sebuah lokasi di Kuala Lumpur semalam.
Nasib Muhyiddin dan masa depan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terumbang-ambing ekoran 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan sekali gus menyebabkan blok kerajaan hilang majoriti untuk menguasai kerajaan. – UTUSAN ONLINE