Pereka dalaman rugi RM36,496 ditipu 'Michelle’ - Utusan Malaysia

Pereka dalaman rugi RM36,496 ditipu ‘Michelle’

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Hasrat seorang pereka dalaman memperoleh pendapatan sampingan musnah selepas wang simpanannya sebanyak RM36,496 lesap akibat penipuan iklan pekerjaan tidak wujud, semalam.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berusia 27 tahun berasal dari Sungai Lui, Raub, dekat sini terpedaya selepas melayari laman sosial Facebook dan melihat satu iklan tawaran kerja sebagai agen jualan barangan.

Menurutnya, kejadian bermula Isnin lalu lebih kurang pukul 12.45 tengah hari apabila mangsa tertarik dengan iklan kerja tersebut yang terpapar di Facebook menerusi pemilik akaun bernama ‘Michelle’.

“Mangsa menekan pautan iklan tersebut dan terus disambungkan ke aplikasi WhatsApp suspek.

“Michelle menerangkan mangsa boleh menggunakan namanya sebagai agen jualan namun harus membuat pembayaran ke atas barang yang ditawarkan.

“Sekiranya barangan tersebut berjaya dijual, mangsa akan menerima komisyen sebanyak lima peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, semalam, mangsa yang berminat dengan syarat dinyatakan Michelle telah melakukan pindahan wang secara dalam talian ke akaun CIMB Bank milik Lai Kien Wei sebanyak RM3,599 untuk bayaran pertama.

“Pada hari yang sama juga, lebih kurang pukul 11 pagi mangsa sekali lagi membuat pemindahaan wang kali kedua ke dalam akaun Hong Leong Bank atas nama Qamarus Salihin Jahana.

“Selepas itu pengadu memasukkan lagi wang ke dalam kedua-dua akaun bank yang diberikan sebanyak tujuh kali berjumlah RM36,496.

“Setelah mangsa membuat semua transaksi namun masih tidak menerima sebarang komisyen daripada suspek dan mula merasakan dirinya ditipu dan tidak menghubungi suspek lagi,” katanya.

Menurutnya, mangsa membuat laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, semalam dan tindakan lanjut akan diambil mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN