Perbahasan selain isu pandemik di Parlimen, buang masa - Vigneswaran - Utusan Malaysia

Perbahasan selain isu pandemik di Parlimen, buang masa – Vigneswaran

PRU15
S.A. VIGNESWARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perbahasan berhubung Ordinan Darurat di Dewan Rakyat hanya membuang masa kerana peruntukan sidang khas Parlimen perlu difokuskan untuk membantu negara pulih dari pandemik Covid-19.

Menurut bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A Vigneswaran, adalah sangat tidak perlu bagi ahli-ahli Dewan Rakyat membahaskan Ordinan Darurat memandangkan ia sudah pun berakhir pada hari ini.

“Ia hanya mensia-siakan masa yang diberikan untuk ahli-ahli Parlimen memulakan langkah dan tindakan ke arah membangunkan kembali negara ini.

“Persidangan Parlimen memberikan peluang kepada negara untuk menyusun semula dan menetapkan hala tuju negara kita, namun malangnya telah terganggu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Presiden MIC berkata, ahli-ahli Parlimen ada isu-isu yang lebih penting untuk dibahaskan bersama berkaitan keadaan negara ketika ini perlu ditangani.

Katanya, Sidang Khas Parlimen diadakan berasaskan hanya satu tujuan untuk berbahas mengenai pelan pemulihan Covid-19 dan menetapkan hala tuju bagi menangani isu yang berkaitan dengan pandemik.

Apatah lagi kata beliau, satu ketetapan telah dicapai bahawa tiada usul atau resolusi akan dipertimbankan semasa persidangan.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat pada hari terakhir esok ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan.

Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin dalam satu kenyataan berkata, pemakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Penangguhan ini adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN