Perak rintis budaya politik kurang berkonfrontasi - Utusan Malaysia

Perak rintis budaya politik kurang berkonfrontasi

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah dan ahli Dewan Perak memberikan tepukan penghargaan kepada petugas barisan hadapan Covid-19 ketika bertitah pada Perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri Perak Ke-14 di Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN PEJABAT MB PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak merintis budaya politik kurang berkonfrontasi apabila mengumumkan peruntukan saksama kepada semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika pembentangan Belanjawan 2021.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ia merupakan budaya baharu dalam pentadbiran negeri selepas baginda menzahirkan titah agar kerajaan negeri merintis jalan meminimumkan perselisihan politik.

Titah baginda, menerusi peruntukan sama rata tanpa sebarang diskriminasi sama ada ADUN dari pembangkang atau pemerintah, ia melonjakkan budaya politik baharu aras tinggi yang kurang berkonfrontasi sifatnya.

“Semasa berlangsungnya Istiadat Pelantikan ADUN Kota Tampan sebagai Menteri Besar Perak, beta menzahirkan titah agar kerajaan merintis jalan meminimumkan perselisihan politik.

“Menyahut titah tersebut, Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan 2021, telah mengumumkan peruntukan saksama untuk kesemua 59 ADUN, tanpa sebarang diskriminasi sama ada ahli dewan dari pembangkang atau pemerintah.

“Semua ahli dewan juga dijemput hadir dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, Jawatankuasa Kumpulan Fokus Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Langkah tersebut memungkinkan semua ahli dewan mengambil bahagian secara langsung lagi membina untuk mencari formula memenuhi keperluan rakyat secara lebih berkesan dan lebih bermakna,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini hari ini.

Titah baginda, langkah yang dirintis oleh Menteri Besar itu merupakan langkah berani, memperkenalkan budaya baharu dalam pentadbiran negeri.

“Langkah tersebut mungkin satu langkah permulaan yang kecil tetapi langkah kecil ini jika terus disuburkan, ini akan membantu melonjakkan budaya politik baharu aras tinggi yang kurang berkonfrontasi sifatnya,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, setiap ahli dewan hendaklah menyambut langkah tersebut dengan menunjukkan sikap timbal balik yang menghargai budaya baharu itu dengan mempamerkan semangat politik matang beraras tinggi.

“Saling bekerjasama, saling menghormati, saling membantu usaha-usaha yang dilaksanakan untuk kepentingan negeri dan kepentingan rakyat.

“Di samping sama-sama berusaha memupuk semangat perpaduan dan semangat kewarganegaraan antara rakyat berbilang kaum yang menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, persidangan kali ini dapat dilangsungkan meskipun menghadapi penangguhan disebabkan Proklamasi Darurat yang meletakkan negara berada dalam darurat
antara 11 Januari sehingga 1 Ogos.

Titah baginda, dalam negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, Dewan Negeri sebagai sebuah badan perundangan, berperanan penting untuk mengukuhkan amalan demokrasi.

Baginda bertitah, Dewan Negeri juga untuk mengimbangi peranan cabang eksekutif, terutama untuk menyemak, membahaskan dan meluluskan perbelanjaan negeri.

“Dewan ini juga merupakan tempat yang membolehkan rintihan rakyat didengari melalui suara ahli ahli dewan yang telah dipilih dan mendapat mandat rakyat semasa berlangsungnya pilihan raya,” titah baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN