KUANTAN: Persetujuan seorang pengurus sebuah syarikat kawalan keselamatan di Mentakab, Temerloh dekat sini untuk bekerja di Kuala Lumpur dalam bidang sama rupanya sia-sia apabila dia tertipu dengan tawaran kerja yang tidak wujud.
Ketua Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang berusia 53 tahun itu bukan sahaja terpedaya dengan perjanjian kosong malah kerugian wang simpanan miliknya sebanyak RM20,000.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal pada 15 Julai lalu mangsa telah diberitahu rakannya bernama Alex terdapat seorang bergelar ‘datuk’ ingin menawarkan jawatan yang sama di Kuala Lumpur.
“Sekitar pukul 11 malam hari yang sama, mangsa menerima satu pesanan ringkas daripada seseorang yang memperkenalkan diri sebagai Datuk Chan Hiu Fatt dari Advance Construction & Development Sdn. Bhd. menawarkan pekerjaan kepada mangsa di sebuah tapak pembinaan.
“Susulan daripada persetujuan tersebut, mangsa menerima slip bank, Standard Chartered berjumlah RM70,000 sebagai wang pembayaran awal untuk kerja yang ditawarkan oleh suspek itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, tidak berakhir di situ sahaja dalam masa yang sama mangsa juga telah dihubungi Alex untuk meminjam wang sebanyak RM20,000.
“Alex memberitau mangsa pinjaman itu berikutan ibunya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dan turut menunjukkan beberapa keping gambar kereta digunakan oleh ibunya dengan keadaan yang terlantar di hospital.
“Di atas tanda kepercayaan kepada Alex dan yakin terdapat sejumlah wang RM70,000 bakal diperoleh berikutan suspek (Datuk Chan) merupakan kenalan diperkenalkan rakannya maka dia telah membuat pemindahan wang seperti yang dimohon Alex ke dalam akaun Hong Leong Bank milik Teoh Lee Chyn,” katanya.
Dalam pada itu, kata Mohd Wazir, selepas tempoh masa dijanjikan, mangsa menghubungi Alex bertanyakan tentang wang pinjaman tersebut namun dia hanya menerima pelbagai alasan sahaja.
“Isnin lalu, mangsa telah ke bank untuk membuat semakan slip bayaran yang kononnya diberikan Datuk Chan tersebut.
“Mangsa dimaklumkan pihak bank bahawa slip yang terima adalah palsu. Dia (mangsa) ada membuat semakan di bank miliknya, malang sekali tiada kemasukan wang berjumlah RM70,000 yang sepatutnya hanya mengambil masa empat hari sahaja untuk transaksi.
“Mangsa rasa tertipu kerana nombor telefon kedua-dua suspek penipuan itu sudah tidak dapat dihubungi dan hasil semakan gambar kemalangan kereta juga didapati diperoleh hanya daripada internet,” katanya.
Beliau berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Mentakab, semalam dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.