Penghuni PPR gotong-royong hasilkan Jalur Gemilang sepanjang 50 meter - Utusan Malaysia

Penghuni PPR gotong-royong hasilkan Jalur Gemilang sepanjang 50 meter

PENDUDUK Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran menunjukkan Jalur Gemilang sepanjang 50 meter untuk digantung dari tingkat 17 ketika ditemui di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran di sini, bergotong-royong menghasilkan Jalur Gemilang sepanjang lebih 50 meter sempena Hari Kebangsaan ke-64 tidak lama lagi.

Wakilnya, Aripin Mohd., 68, berkata, inisiatif itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan warganya selain untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan kali ini.

Katanya, tempoh lima hari diambil untuk menyiapkan Jalur Gemilang gergasi dengan menggunakan 42 bendera membabitkan kos kira-kira RM1,500.

“Setiap tahun kita tidak ketinggalan menghiasi kawasan sekitar PPR dengan bendera tetapi kali ini sedikit berbeza kerana Jalur Gemilang digantung dari tingkat 17 yang merupakan aras tertinggi.

“Selain Jalur Gemilang gergasi, kita memasang bendera bersaiz kecil dan sederhana di ketiga-tiga blok PPR di sini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Aripin, kesemua 870 keluarga di PPR itu teruja dengan kelainan yang ditampilkan dan masing-masing tidak melepaskan peluang turun padang membantu dalam proses penghasilan bendera gergasi berkenaan.

Katanya, aktiviti tradisi tahunan di PPR Padang Hiliran itu dalam masa sama dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka dalam kesibukan bekerja. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN