TAWAU: Usaha menggempur penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) terus dipergiatkan dengan tangkapan terbaru membabitkan 155 orang di dua lokasi berasingan, dekat sini semalam.
Serbuan melalui Op Patuh Bersepadu itu diadakan bermula pada tengah malam Rabu hingga awal pagi semalam di Kilang Jalan Tanah Merah Merotai dan di Batu 5 Kampung Kilang Cermin, Jalan Kinabutan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, daripada 182 orang individu yang diperiksa, 155 orang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen. Kesemua mereka berusia antara setahun hingga 77 tahun.
“Antara yang ditahan adalah 69 orang lelaki dan 86 orang perempuan termasuk 39 kanak-kanak.
“Operasi bersepadu ini memberi tumpuan kepada majikan yang disyaki mengambil pekerja PATI, melindungi PATI serta terlibat dalam sindiket membawa masuk PATI ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jonathan berkata, tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak terlibat dalam mengambil pekerja mahupun melindungi PATI.
Kesemua 155 PATI yang ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas yang sah serta tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas.
Sementara itu, majikan pula dikenakan tindakan berdasarkan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan PATI masuk atau tinggal di dalam premis demi kepentingan sendiri selaku penyelia atau pengurus premis.
Jelas beliau, operasi bersepadu yang diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPI) Razman Manap @ Maznan itu bertujuan membanteras PATI dan mana-mana individu yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Akta Passport 1966, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Menurutnya, semua PATI yang ditahan akan menjalani proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan Covid-19. Langkah ini bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan Covid-19 sebelum dihantar ke depot Imigresen seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
Jelas beliau, pada tahun ini sebanyak 610 operasi dijalankan oleh Jabatan Imigresen membabitkan tangkapan 1,069 PATI. Daripada operasi itu, sebanyak 34 orang majikan didakwa manakala 1,740 orang tahanan warga asing telah diusir ke negara asal.
Dalam perkembangan lain, Jonathan berkata, penghantaran pulang PATI warga Indonesia yang sepatutnya dilaksanakan pada 4 Ogos terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan.
“Saya turut menyeru agar tidak ada mana-mana pihak yang cuba melindungi PATI di Sabah dan saya memohon kerjasama dari rakyat Sabah agar melaporkan dengan segera sekiranya terdapat aktiviti PATI di kawasan masing-masing,” katanya.