KLANG: Ahli kariah Surau Al-Insyirah di Bukit Tinggi di sini meluahkan rasa amat merindui suasana solat berjemaah seperti sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19.
Menurut Pengerusinya, Zulkifli Osman, beliau berharap bilangan jemaah boleh ditingkatkan memandangkan ramai ahli kariah sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19.
“Buat masa ini hanya enam orang dibenarkan oleh pihak berkuasa untuk solat berjemaah.
“Dengan peningkatan jumlah penerima vaksin penuh di kawasan ini, saya mengharapkan satu prosedur operasi standard (SOP) daripada pihak berwajib diperkenalkan bagi kita mengimarahkan kembali surau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Sanitasi Merdeka di Surau Al-Insyirah Bukit Tinggi hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selangor, Datuk Nazilah Idris dan Pengerusi Pertubuhan 99 Kebajikan Insan (Kesan), Muhd. Ali Zakariah.
Sementara itu Nazilah berkata, kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan penduduk diharap merupakan faktor utama untuk surau kembali diimarahkan.
“Ramai yang sudah mendapat dua dos vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) diadakan awal tahun ini.
“Maka sewajarnya pihak berkuasa agama, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) merangka SOP yang sesuai untuk surau ini diimarahkan. Inilah masa solat hajat untuk pandemik Covid-19 ini diangkat diadakan secara beramai-ramai,” katanya.
Terdahulu, kesemua ahli-ahli kariah Surau Al-Insyirah meraikan hari kemerdekaan di pekarangan surau tersebut.










