Penduduk Orang Asli di lokaliti PKPD dibenarkan jual hasil hutan - Utusan Malaysia

Penduduk Orang Asli di lokaliti PKPD dibenarkan jual hasil hutan

MIOR Faridalathrash Wahid (tengah) melihat kotak makanan untuk anggota pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan PKPD Daerah Batang Padang di Tapah hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Penduduk Orang Asli di 23 lokaliti dalam daerah Batang Padang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), boleh menarik nafas lega kerana mereka dibenarkan menjalankan aktiviti jualan hasil hutan dalam tempoh tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, penduduk bagaimanapun tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD, sebaliknya hasil hutan tersebut diletakkan di pos kawalan untuk diambil peraih.

“Kita ada buat perbincangan, jika mahu pasarkan (hasil hutan), mereka boleh hantar di pos kawalan dan orang luar (peraih) akan ambil.

“Tiada masalah untuk pasarkan hasil hutan, sebab itu cara hidup mereka dan kita tidak boleh halang. Mereka hanya tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di pos kawalan Batu 7, Jalan Pahang di sini selepas meninjau hari pertama pelaksanaan PKPD di daerah Batang Padang hari ini.

Media pada Isnin lalu melaporkan, sebanyak 23 perkampungan Orang Asli suku Semai di daerah Batang Padang dilaksanakan PKPD serentak selama 14 hari bermula hari ini hingga 24 Ogos depan.

Difahamkan, sebanyak 3,821 sampel diambil daripada penduduk dan daripada jumlah itu, 784 orang dilaporkan positif jangkitan Covid-19 dengan merekodkan lapan kematian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN