BERA: Penangguhan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat yang sepatutnya bersambung esok bukan isu politik sebaliknya dibuat berdasarkan sains dan fakta kesihatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu bukan dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat tetapi menerusi nasihat khas Kementerian Kesihatan kerana bimbang berlaku penularan jangkitan Covid-19 di situ.
Jelasnya, dalam tempoh empat hari Parlimen bersidang bermula 26 Julai lalu, berlaku peningkatan kes positif Covid-19 selepas ujian calitan dilaksanakan.
“Pagi sebelum persidangan pada hari pertama bermula kita ada mesyuarat khas yang dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, saya sendiri hadir dan wakil-wakil parti dan pada waktu itu pandangan daripada Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah) ada dua perkara.
“Pertama, Parlimen perlu ditangguhkan kerana kebimbangannya kes meningkat di Parlimen dan kedua kalau boleh dikurangkan masa perbahasan iaitu sehingga pukul 2 petang dan dikurangkan jumlah yang masuk ke dalam Parlimen maksimum 80 orang.
“Tetapi perkara itu tidak dilakukan, apa dikatakan pagi itu, kita tidak tahu lagi, pandangan takut berlaku peningkatan kes, hanya takut, belum berlaku lagi dan kata kita cuba bersidang dulu.
“Akhirnya persidangan dilakukan juga walaupun sudah nampak mungkin akan berlaku peningkatan kes di Parlimen,” katanya dalam sidang akhbar selepas program penyampaian bakul makanan di Kampung Charuk Puting di sini hari ini.
Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat yang sepatutnya bersambung esok ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Perkara itu terkandung dalam surat bertarikh 31 Julai lalu dari Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat Parlimen Malaysia yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.
Mengikut kandungan surat itu, pemakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Ismail Sabri berkata, ekoran peningkatan kes positif yang berlaku, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Ketua Pengarah Kesihatan menasihatkan Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya Parlimen ditangguhkan.
“Ia kerana kebimbangan kes akan meningkat dan kita tidak tahu sebelum dia (ahli Parlimen, petugas Parlimen) didapati positif mereka pergi ke mana.
“Kita tidak buat gelembung Parlimen, tak tahu balik rumah keluarga akan terjejas, dia pergi pasar, supermarket dan masjid, dibimbangi kes akan merebak sebab itu pandangan Kementerian Kesihatan sidang Parlimen tidak wajar diteruskan,” katanya.