fbpx

19 September 2021, 6:35 am

  TERKINI

Pemuda UMNO Kedah bidas Khairul Anuar

SYED MOHD. JOHAN RIZAL SYED UNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah membidas tindakan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Kedah, Khairul Anuar Ramli yang membuat satu laporan polis terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ketua Penerangannya, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan, laporan berkenaan yang kononnya Presiden UMNO itu memperdayakan Yang di-Pertuan Agong berhubung jumlah Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan daripada kerajaan PN jelas membuktikan beliau terkeliru fakta dan dangkal dalam tindakan serta cuba menabur fitnah.

“Asasnya jelas, seramai lapan Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan dengan surat akuan dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat untuk mengubah kedudukan kerusi daripada blok kerajaan dalam Parlimen dan kemudiannya dipersembahkan pada Seri Paduka pada 30 Julai mengabsahkan penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri.

“Ini kemudiannya disusuli dengan kenyataan Presiden pada 3 Ogos bersama dengan senarai tambahan beberapa lagi ahli Parlimen bersama surat akuan penarikan sokongan yang disertakan pada hari berikutnya kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Tidak mustahil selain itu akan ada lagi tambahan senarai nama lain dalam beberapa hari mendatang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, fenomena yang terbukti dari segi data dan angka adalah bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang sokongan majoriti selaku Perdana Menteri.

“Dalam hal ini Pemuda UMNO Kedah berpandangan adalah lebih afdal Khairul Anuar Ramli membuat laporan polis berkaitan pemerdayaan dan penderhakaaan yang dilakukan Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Menteri Undang-undang dengan menipu Dewan Rakyat dan ingkar titah Agong serta berbohong pada seluruh rakyat kononnya enam Ordinan Darurat sudah dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai, padahal kenyataan Istana Negara menyatakan sebaliknya.

“Laporan polis juga perlu dibuat oleh Khairul Anuar berhubung tindakan Perdana Menteri yang memperdayakan Yang di-Pertuan Agong kononnya beliau masih memiliki majoriti mudah dengan sokongan daripada ahli Parlimen semasa mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mesyuarat Jemaah Menteri berlangsung pada 4 Ogos,” jelasnya.

Jelasnya, jika perkara berkenaan gagal disempurnakan oleh Khairul Anuar, Pemuda UMNO negeri akan tampil untuk melaksanakannya demi membolehkan kebenaran diserlahkan supaya rakyat mengetahui kedudukan sebenar.

“Walhal Seri Paduka menitahkan keabsahan sokongan majoriti ini perlu dibuat dan dibahas melalui usul undi percaya di Parlimen.

“Justeru, Pemuda UMNO negeri Kedah berpandangan eloklah sekiranya usul ini disegerakan jika benar Perdana Menteri berkeyakinan beliau memiliki sokongan majoriti tanpa perlu menunggu sidang Parlimen pada September. Tujuannya supaya persoalan berkaitan keabsahan Tan Sri Muhyiddin tidak berbangkit lagi,” katanya.

POPULAR

KOSMO! TERKINI