'Pemimpin politik harus sedar Seri Paduka punyai kuasa mutlak' - Utusan Malaysia

‘Pemimpin politik harus sedar Seri Paduka punyai kuasa mutlak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peranan Yang di-Pertuan Agong jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 39 sebagai kuasa tertinggi Eksekutif negara mengamalkan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, di bawah Perkara 40(2) (a) pula, Seri Paduka mempunyai ‘discretion’ untuk melantik Perdana Menteri dalam kalangan ahli Parlimen iaitu seorang yang mempunyai paling banyak kepercayaan ahli Dewan Rakyat.

Maka katanya, dalam negara menghadapi kemelut perebutan kuasa di badan Eksekutif, secara prosedur mengikut Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan utama menyelesaikan keadaan itu bersesuaian dengan krisis kesihatan dan pandemik Covid-19 yang menyerlahkan peranan Seri Paduka menjalankan tugas dengan penuh berhemah dan bijaksana bagi menyelesaikan konflik itu.

“Pemimpin politik harus sedar setinggi mana mereka berada, ada lagi tahap yang lebih tinggi iaitu raja dan Majlis Raja-Raja yang hadir sebagai penyelamat negara. Semua harus akur tidak ada suatu kuasa pun yang boleh menongkat langit selamanya, apatah lagi pemimpin politik yang mengambil mandat rakyat,” katanya.

Kartini berkata, wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat seolah-olah lupa diri dan gagal menjalankan tanggungjawab yang sebenarnya iaitu menjaga keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat yang telah mengundi mereka, memberi potongan cukai gaji mereka, maka amanah ini harus dijalankan dengan berintegriti oleh pemimpin politik.

Beliau menjelaskan, jika rakus kuasa, pemimpin akan sesat dan ‘menyalahgunakan’ cukai pendapatan rakyat untuk kepentingan diri dan keluarga sendiri semata-mata dan dalam keadaan ini, rakyat perlu menggunakan undi mereka memilih pemimpin yang berintegriti dan menolak pemimpin yang tamak dan sesat ini.

Dalam pada itu, geostrategis, Dr. Azmi Hassan pula berkata, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak melantik siapa Perdana Menteri berlunaskan Perlembagaan Persekutuan, dan apa yang menariknya keputusan Seri Paduka memberikan tempoh masa kepada setiap ahli Parlimen mengemukakan jumlah sokongan yang ada bagi setiap calon.

Katanya, jika langkah penetapan waktu itu tidak diberikan, nescaya ahli Parlimen akan berkelahi antara satu sama lain untuk menonjolkan siapa calon mereka, justeru, dengan kesuntukan masa yang diberikan, semua ahli Parlimen ‘terpaksa’ membuahkan kerjasama dan akhirnya hanya ada dua calon dikemukakan.

“Masa suntuk yang ditetapkan Yang di-Pertuan Agong adalah langkah bijak kerana juga memaksa UMNO bersetuju dengan satu calon sahaja dan ini boleh mengelakkan politiking berlebihan.

“Kalau tidak diberi garis masa, mungkin seminggu atau dua minggu kita tidak akan melihat cahaya di hujung terowong. Benarlah kebijaksanaan Seri Paduka itu dikatakan telah memaksa 220 ahli Parlimen supaya mereka bersetuju dengan satu calon sahaja dari kumpulan masing-masing,” katanya.

Pemilihan Perdana Menteri paling ketat dalam sejarah negara ini menunjukkan kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menangani krisis politik supaya ia tidak terus berpanjangan.

Perkara itu jelas terbukti apabila Seri Paduka menitahkan supaya Perdana Menteri yang dilantik hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan ahli Dewan Rakyat selain menetapkan masa penyerahan surat akuan bersumpah (SD) berhubung calon Perdana Menteri kesembilan kepada Istana Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya