Pemerdagangan manusia: Individu dibebas dengan jaminan polis - Utusan Malaysia

Pemerdagangan manusia: Individu dibebas dengan jaminan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Individu yang ditahan polis Ahad lalu di Kuala Pilah susulan disyaki terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, kes berkenaan kini dalam siasatan lanjut Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuala Pilah.

Jelasnya, setelah maklumat siasatan lengkap perkara tersebut akan dirujuk ke pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“Kita siasat dan kemudiannya kes ini akan dirujuk kepada DPP. Suspek telah dibebaskan semalam.

“Bagaimanapun siasatan lanjut sedang dilakukan dan butirannya kita tak dedahkan kerana tidak mahu mengganggu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang pelawak berusia 40-an ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah dalam serbuan Op Pintas.

Dalam operasi berkenaan, polis turut menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di daerah yang sama dan kini wanita berkenaan mendapat perintah perlindungan sementara serta ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pelawak berkenaan turut dikenakan kompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

Sementara itu, Mohamad menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan mengaitkan kes tersebut dengan individu tertentu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN