JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ayer Hitam mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak pembangkang di Dewan Rakyat yang cuba menggugat kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian berkata, tindakan tersebut tidak sewajarnya berlaku dalam keadaan rakyat dan kerajaan masih berdepan dengan pandemik Covid-19.
Bekas Menteri Besar itu berkata, sebaliknya semua pihak diseru untuk sentiasa berganding bahu dan bersatu padu membantu rakyat yang terkesan dengan situasi wabak ketika ini.
“Pada sidang khas Parlimen yang kini sedang berlangsung, semua ahli Parlimen diseru memberikan keutamaan kepada usaha menjaga kesejahteraan rakyat serta agenda menyelesaikan masalah Covid-19 ketika ini.
“Semua pihak juga diseru mengelakkan sebarang perbezaan pandangan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan situasi pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Osman yang juga Ahli Jawatankuasa Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor berharap agar rakyat dan semua pihak dapat bertenang dalam menghadapi situasi terkini.
“Bersama kita berdoa agar kemelut politik dan pandemik Covid-19 akan segera berakhir,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya menzahirkan sokongan penuh dan tanpa belah bahagi terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan kepemimpinannya dalam kerajaan PN.
“Bersatu Ayer Hitam menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru agar semua ahli Parlimen memberikan keutamaan kepada usaha menjaga kesejahteraan rakyat serta agenda menyelesaikan masalah Covid-19 pada sidang khas Parlimen yang kini berlangsung.
“Bersatu Ayer Hitam juga sentiasa bersedia dalam melaksanakan agenda membela rakyat,” ujarnya. – UTUSAN










