Pelesit dicekup ‘ceroboh’ landasan lapangan terbang - Utusan Malaysia

Pelesit dicekup ‘ceroboh’ landasan lapangan terbang

SEORANG petugas MAHB memegang pelesit yang ‘ditahan’ kerana menceroboh landasan Lapangan Terbang Sibu baru-baru ini. – GAMBAR IHSAN MAHB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seekor belalang bersaiz besar dan berwarna hijau ditemukan ‘menceroboh’ permukaan landasan Lapangan Terbang Sibu di Sarawak baru-baru ini.

Menerusi hantaran dalam akaun sosial rasmi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), serangga itu merupakan antara yang pernah dijumpai ‘melawat’ lapangan terbang itu.

MAHB berkata, di samping belalang itu yang juga disebut sebagai pelesit atau belalang daun, beberapa binatang kecil lain sering juga dikesan seperti anak burung, ketam malah ular.

“Seperti anda sedia maklum, landasan mestilah berada dalam keadaan bebas FOD (objek asing yang membinasakan) bagi mengelak kecelakaan pesawat mungkin berlaku,” katanya.

Operator lapangan terbang itu juga menjelaskan bahawa belalang tersebut ‘ditahan’ sebelum dilepaskan ke lokasi bersesuaian yang lebih selamat dan jauh daripada kawasan berkenaan.

Serangga itu yang juga digelar sebagai kukus hijau dan belalang rusa, banyak terdapat di Asia dengan lebih 6,400 spesies serta berbeza daripada belalang biasa yang bersaiz pendek.

Lapangan Terbang Sibu pula yang wujud sejak Perang Dunia Kedua, ketika ini merupakan ketiga paling sibuk di negeri itu serta terminal terbesar di Sarawak selepas Kuching dan Miri.

Hantaran berkenaan menerima reaksi positif dalam kalangan warganet yang turut memuji usaha serius MAHB memastikan tahap keselamatan lapangan terbang dalam keadaan baik.

Kelazimannya FOD seperti serpihan logam atau tayar pesawat selain sisa sampah yang bertaburan di landasan boleh merosakkan enjin kapal terbang ketika melalui kawasan itu.

Setakat ini, belum ada nahas akibat FOD tetapi lapangan terbang itu pernah merekodkan sebuah pesawat Malaysia Airlines terbabas pada 2017 mengakibatkan ia ditutup tiga hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN