IPOH: Pegawai Khas kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen Bagan Datuk, Datuk R. Azmi Abd. Wahab, 65, meninggal dunia Khamis lalu.
Perkara itu dikongsi Ahmad Zahid dalam Facebook beliau yang menyatakan rasa sedih menerima berita itu.
R. Azmi meninggal dunia di rumahnya di Kampung Sungai Lancang, Bagan Datuk setelah sebelum itu dirawat di Hospital Teluk Intan kerana menghidap sakit buah pinggang.
“Saya telah menerima berita menyedihkan pemergian Pegawai Khas saya di Parlimen Bagan, Datuk Allahyarham R. Azmi Abd. Wahab.
“Allahyarham merupakan Ketua Cawangan UMNO Sungai Lanchang dan bekas Naib Ketua Bahagian Bagan Datuk.
“Beliau sejak sekian lama banyak membantu urusan menjaga kebajikan rakyat di Bagan Datuk dan pemergiannya satu kehilangan besar buat UMNO bahagian dan seluruh rakyat yang mengenalinya,” katanya.
Ahmad Zahid berharap semoga keluarga Allahyarham bersabar dan mendoakan jasa arwah dirahmati Allah dan ditempatkan bersama para syuhada dan solehin.
“Marilah kita hadiahkan bacaan al-Fatihah kepada Allahyarham, jasanya akan sentiasa dikenang oleh kita semua,” katanya. – UTUSAN