Nelayan hilang disyaki jatuh laut - Utusan Malaysia

Nelayan hilang disyaki jatuh laut

ISHAK MUDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang nelayan dikhuatiri hilang selepas terjatuh daripada bot ketika keluar menangkap ikan bersama 16 kru dengan bot pukat jerut di perairan timur Gebeng, di sini.

Ishak Muda, 60, hanya disedari hilang oleh tekong selepas bot terbabit pulang ke jeti Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kemunting, di sini, kira-kira pukul 10 pagi semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Datuk Amran Daud berkata, mangsa dipercayai terjatuh kira-kira 25,928 meter timur Gebeng.

“Sebaik sahaja menerima laporan daripada Maritime Rescue Sub–Centre (MRSC) Kuantan, bot ronda Maritim segera diatur gerak ke titik koordinat aduan bagi melaksanakan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bermula pukul 4 petang semalam.

“Mangsa bersama 16 kru lain keluar ke laut pada pagi kelmarin dengan bot pukat jerut  dan pulang ke Jeti Kompleks Kemunting pagi semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amran berkata, kehilangan mangsa disedari oleh tekong setelah tiba di jeti pagi semalam dan usaha mencari mangsa di jeti dan daratan telah dilakukan oleh rakan namun gagal menemukannya.

“Mangsa kali terakhir dilihat berseluar pendek berwarna gelap dan tidak berbaju disyaki telah jatuh laut di lokasi penangkapan ikan.

“Maklumat kehilangan mangsa turut disalurkan kepada agensi sahabat serta komuniti nelayan tempatan bagi membantu pencarian di sekitar lokasi,” katanya.

Tambahnya, operasi mencari mangsa  pada hari pertama ditangguhkan sekitar pukul 7.30 malam semalam berikutan cuaca gelap menyukarkan penglihatan dan disambung semula hari ini pada pukul 7.30 pagi.

“Operasi mencari mangsa hari ini membabitkan keluasan sektor pencarian sasaran merangkumi 35 batu nautika persegi.

“Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan kegiatan jenayah atau di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN